UMNO Pekan komited pejuang keadilan Najib - Utusan Malaysia

UMNO Pekan komited pejuang keadilan Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: UMNO Bahagian Pekan kesal dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Peguam Negara merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengembalikan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum ke Mahkamah Tinggi.

UMNO Bahagian itu dalam kenyataannya berkata, keputusan tersebut menyebabkan semua prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian rayuan berkenaan.

“Perlu ditegaskan bahawa kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 telah disahkan oleh Majlis Kesultanan Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari lalu dan Perdana Menteri turut menyatakan dengan jelas dalam ucapannya bahawa adendum itu wujud.

“Maka pelaksanaan Titah Adendum yang sudah pun tertangguh selama lebih 14 bulan ini umpama keadilan yang dinafikan kepada Datuk Seri Najib serta melambatkan hak bekas Perdana Menteri itu di bawah Perlembagaan untuk mendapatkan keadilan.

“UMNO Pekan menyeru agar semua pihak yang berkaitan memandang serius perkara ini demi menjamin prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Isnin lalu, Peguam Negara berjaya mendapatkan kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Addendum.

Titah Adendum itu berkait dengan perintah agar Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah selepas didapati bersalah atas kesalahan berkait penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah, semalam sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut berjaya memenuhi ambang peruntukan undang-undang.

Mengulas lanjut, UMNO Pekan berkata, keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara akan semakin terhakis jika merasa ragu dengan proses yang dijalankan.

“Datuk Seri Najib merupakan tokoh negarawan yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan negara, termasuklah melalui pelbagai dasar transformasi ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang masih memberi manfaat kepada rakyat sehingga kini.

“Sumbangan beliau tidak wajar dipinggirkan dan sebagai warganegara Malaysia, beliau juga berhak menerima layanan yang adil dan saksama di sisi undang-undang,” kata kenyataan tersebut.

UMNO Pekan menjunjung tinggi Titah Adendum yang diperkenan Yang Di-Pertuan Agong ke-16 dan akan terus komited memperjuangkan keadilan buat Najib.

“Marilah kita semua berdoa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan keadilan buat Datuk Seri Najib serta terus memberkati bumi Malaysia yang tercinta ini,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN