Tunai tanggungjawab mengundi sebelum bersara

Tunai tanggungjawab mengundi sebelum bersara

KOPERAL Mahamat Udin yang berkerusi roda dibantu petugas SPR ke tempat mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Biarpun ‘uzur’, seorang anggota polis, Koperal Mahamat Udin, 59, tidak mahu melepaskan peluang mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam.

Menurut Mahamat, pengundian semalam adalah tanggungjawab terakhirnya sebagai pengundi awal sebelum bersara wajib dalam perkhidmatan pada September ini.

“Walaupun sakit dan badan lemah kesan kemalangan beberapa tahun lalu, saya tetap gagahkan diri untuk hadir ke sini.

“Lagi pun, ini adalah pengalaman pertama saya mengundi secara fizikal iaitu mencelup jari dengan dakwat, sebelum ini undi secara pos,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor semalam.

Sementara itu, seorang ibu dalam pantang, Surya Mat, 40, mencuri perhatian apabila hadir berkerusi roda sambil memangku bayi lelaki, Shein Alfie Shukor berusia 32 hari.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia bangun awal sekitar pukul 7 pagi untuk menyiapkan diri dan anaknya sebelum dibawa suami ke pusat mengundi.

“Tiada siapa yang jaga anak di rumah, jadi saya bawa dia ke sini. Tiada masalah untuk datang sebab di sini pun ada disediakan kerusi roda. Jadi memudahkan saya bergerak,” katanya.

Menurut Surya, sejak melepasi had umur yang dibenarkan mengundi, dia tidak melepaskan peluang membuang undi pada setiap kali pilihan raya.

“Ini adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dan saya teruja untuk membuang undi walaupun masih dalam pantang,” katanya.

Sementara itu, proses pengundian awal itu tamat apabila dua pusat ditutup pada jam 5 petang, selepas dibuka bermula jam 8 pagi semalam.

Pusat pengundian di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor ditutup pukul 5 petang, manakala pusat pengundian di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah ditutup lebih awal iaitu pada jam 12 tengah hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 92.8 peratus pengundi merangkumi anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 3 petang.

Proses pengundian awal di tiga saluran itu membabitkan 582 anggota polis dan pasangan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN