Tujuh maut, puting beliung landa beberapa negeri AS

Tujuh maut, puting beliung landa beberapa negeri AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut akibat puting beliung yang melanda beberapa negeri di Selatan dan Barat Tengah Amerika Syarikat (AS), dengan ribut lebih teruk dijangka menghampiri, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Selain kerosakan bangunan, pokok dan talian elektrik tumbang yang menyebabkan gangguan bekalan meluas, hujan lebat mengakibatkan banjir di bandar dan kawasan dilaluinya, termasuk Arkansas, Illinois, Kentucky, Missouri, Ohio, Tennessee, Texas dan West Virginia.

“Kejadian banjir ini bakal menjadi ‘maraton’ bukannya ‘pecutan’,” tulis pegawai NWS dalam satu hantaran di X.

Menurut agensi itu, hujan dijangka turun sehingga hujung minggu ini, bermula dari kawasan Ozarks hingga ke Mid-South, Lembah Mississippi Tengah dan Lembah Ohio Bawah.

“Sebarang banjir kilat atau banjir sungai di kawasan-kawasan ini berpotensi menjadi bencana besar dan mengancam nyawa,” kata agensi itu.

Puluhan puting beliung dilaporkan pada Rabu dan awal Khamis merentasi pelbagai negeri, dengan NWS mengeluarkan sejumlah besar amaran amaran ribut, dan banjir.

Menurut NWS, secara keseluruhan, 728 amaran cuaca dikeluarkan pada Rabu, jumlah ketiga tertinggi dalam sejarah AS untuk tempoh 24 jam, hanya selepas 27 April 2011 (881 amaran) dan 30 Mei 2004 (834 amaran).

Lebih 55 juta orang masih berisiko dilanda puting beliung lebih kuat dan banjir kilat, manakala agensi ramalan cuaca menjangkakan kawasan paling teruk akan menerima hujan sehingga 38 sentimeter.

Gabernor Kentucky, Andy Beshear, yang negerinya terjejas, mengkritik pentadbiran Presiden AS, Donald Trump kerana memotong dana NWS sebagai sebahagian daripada pemotongan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) terhadap kerajaan persekutuan.

“Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan adalah organisasi kritikal yang sangat kita perlukan dan perlu diperkukuh malah pekerjanya tidak sepatutnya dikurangkan kerana kejadian seperti inilah alasannya. Mereka adalah ‘talian hayat’,” katanya. – ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×