PETALING JAYA: Empat stesen janakuasa utama di Lembah Klang terjejas ekoran tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Empat stesen tersebut ialah Stesen Janakuasa Connaught Bridge, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan Stesen Janakuasa Putrajaya.
Suruhanjaya Tenaga (ST) bagaimanapun berkata, bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.
Ini antaranya pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu dan kesiapsediaan (standby) pengoperasian stesen janakuasa yang terkesan menggunakan distillate fuel dan MFO.
“Pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan (power dispatch) dilakukan yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko.
“Langkah-langkah mitigasi interim sedang diteliti secara berterusan. Pihak ST juga akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna-pengguna yang terjejas dalam tempoh
terdekat ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, ST berkata, bekalan gas terganggu membabitkan beberapa kawasan di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta beberapa kawasan di zon utara.
“Beberapa pengguna yang terkesan telah mula menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing sehingga 20 April.
“Bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberi kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas,” katanya.
ST juga turut memaklumkan, insiden letupan paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung Malaysia.
Oleh itu, pihak ST menyeru pihak-pihak yang terlibat untuk terus bekerjasama dan semua pengguna sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama.
Sementara itu, Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dalam kenyataan memaklumkan, kawasan penyekatan gas telah diperluas ke lima lokasi baharu yang melibatkan Merbau, Tronoh, Perai, Junjung dan Hutan Melintang susulan insiden tersebut.
Katanya, Gas Malaysia telah menerima pemberitahuan susulan daripada pembekal gas mengenai sekatan yang sedang berlaku.
“Perluasan kawasan itu dijangkakan lebih banyak pelanggan mengalami gangguan perkhidmatan sepanjang tempoh penyekatan yang ditetapkan sehingga 20 April ini.
“Namun begitu, Gas Malaysia dimaklumkan bahawa kawasan baharu serta pelanggan tambahan akan turut terjejas disebabkan kekangan operasi berpunca daripada insiden tersebut.
“Sehubungan itu, kawasan penyekatan gas dijangka diperluaskan ke kawasan lain seperti Merbau, Tronoh, Perai, Junjung dan Hutan Melintang, sekali gus memberi kesan kepada lebih ramai pelanggan,” katanya.
Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, katanya, Gas Malaysia telah mempertingkatkan usaha penyelarasan dengan pelanggan terjejas dan pembekal gas serta bekerjasama rapat bagi mengurus situasi ini dengan berkesan.
“Gas Malaysia kekal komited untuk menyediakan sokongan serta makluman terkini kepada semua pihak yang mengalami gangguan perkhidmatan.
“Keutamaan utama Gas Malaysia sepanjang tempoh ini adalah untuk mengurangkan impak kepada pelanggan, memastikan keselamatan awam serta mengekalkan integriti perkhidmatan.
“Oleh itu, Gas Malaysia amat menghargai sokongan dan kerjasama berterusan daripada semua pelanggan dan pihak berkepentingan semasa mengharungi cabaran sementara ini.
“Sebarang makluman lanjut akan dikemas kini di laman web rasmi kami di www.gasmalaysia.com sebaik sahaja maklumat baharu diperoleh,” ujarnya. – UTUSAN










