Tiada kejutan besar dalam pemilihan cabang PKR

Tiada kejutan besar dalam pemilihan cabang PKR

Dari kiri: RAFIZI RAMLI, AMIRUDIN SHAARI dan R RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada kejutan besar dalam pe­milihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat ca­bang apabila beberapa pemimpin yang mempunyai jawatan dalam ke­rajaan dilihat menjadi pilihan perwakilan di pe­ringkat berkenaan.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berjaya menumbangkan lawannya dan memenangi jawatan Ketua Cabang Keadilan Pandan bagi tahun 2025.

Rafizi mempertahankan ke­rusi berkenaan buat kali ketika tidak berdepan laluan sukar apabila mengalahkan pencabarnya dengan perbezaan jumlah undi hampir sekali ganda.

Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shaari juga memang tanpa bertanding, sekali gus antara pemimpin yang berjaya mengekalkan kerusi Ketua Cabang Gombak buat penggal kedua.

Keadaan yang sama turut berlaku kepada calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan apabila beliau menang tanpa bertanding, sekali gus berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Sungai Buloh

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin juga menang besar dengan memperoleh 1,995 undi pada pemilihan jawatan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya , semalam.

Ia sekali gus menyaksikan laluan mudah dan keyakinan buat mereka yang menang, bertanding pula di peringkat pusat.

Sementara di Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet menang dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd. Kamri Kamaruddin yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor serta Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Di Perlis, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Noor Amin Ahmad berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kangar dengan meraih 1,295 undi dan menewaskan pencabarnya yang merupakan ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Bagaimanapun, terdapat beberapa nama besar dalam pimpinan PKR yang tewas dalam pemilihan di peringkat cabang iaitu Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid di Kapar, S Thiban di Kuala Selangor serta Rodziah Ismail.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung juga tewas kepada penyandang, Hee Loy Sian.

Malah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim gagal dalam percubaannya kali ini untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang itu apa tewas kepada pencabarnya.

Dalam pemilihan parti di peringkat cabang, tiga negeri yang membuat keputusan rasmi semalam iaitu Selangor, Perlis dan Melaka, serta diikuti Kedah pada kelmarin.

Tiga lagi negeri yang mengadakan sesi pengundian semalam adalah Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN