Terpaksa meniarap untuk belajar, gadis OKU raih 9A SPM

Terpaksa meniarap untuk belajar, gadis OKU raih 9A SPM

WAN Afiqah Maisarah Mohd. Shafie (tengah) bersama ibu dan bapanya bergambar selepas mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kekurangan diri bukan penghalang bagi seorang pelajar kategori orang upaya (OKU) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di sini, untuk mendapat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Wan Afiqah Maisarah Mohd. Shafie, 18, yang tinggal di Kampung Mak Chili Paya, di sini kadangkala terpaksa mengulang kaji pelajaran dalam keadaan me­niarap ekoran mempunyai masalah tulang pinggul dan kaki sejak lahir.

Ibunya, Wan Noor Aliza Tun Mohamad, 49, berkata, masalah yang dialami Wan Afiqah Maisarah menyebabkan anaknya itu tidak mampu duduk dalam tempoh yang lama.

“Anak saya diuji dengan ma­salah kaki dan tiada cawan sendi di bahagian pinggul sejak lahir. Kadangkala dia terpaksa mengulang kaji dalam keadaan meniarap kerana pinggangnya sering sakit.

“Bagaimanapun, dia tidak pernah mengeluh dan tetap bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan dalam kelas dia masih dapat duduk seperti biasa,” katanya.

Wan Noor Aliza berkata, setiap hari, Wan Afiqah Maisarah bangun seawal pukul 3 pagi untuk mengulangkaji pelajaran sebelum ke sekolah.

“Alhamdulillah, sejak tingkatan empat anak saya berjaya meraih keputusan semua A dalam peperiksaan akhir tahun.

“Dia juga sering solat sunat tahajud dan berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis. Saya juga sentiasa berdoa supaya Allah memberi kekuatan pada anak saya kerana kadangkala dia rasa rendah diri,” katanya.

Menurutnya, guru-guru di SMK Chukai terutama pengetua sekolah itu sentiasa memberi perhatian penuh kepada anaknya.

“Pengetua selalu jenguk dia dalam kelas, beri semangat, nasihat supaya tak ambil peduli kata-kata orang dan terus fokus pada kelebihan diri,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN