KLANG: “Melihat air naik ke paras betis, kami segera keluar dan berlindung di surau kerana buntu mahu ke mana.”
Demikian situasi cemas ditempuh sepasang suami isteri bersama tiga anak termasuk seorang bayi mereka selepas rumahnya di Taman Meru Indah di sini, dilanda banjir semalam.
Muhammad Ammar Abu Kassim, 32, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga sedang tidur sebelum menyedari air memasuki kediamannya, kira-kira pukul 3 pagi.
“Saya kemudian menghubungi beberapa pihak untuk mendapatkan maklumat lanjut namun dimaklumkan bahawa pusat pemindahan sementara (PPS) belum dibuka.
“Selepas bertahan di rumah lebih dua jam, kami termasuk bayi perempuan berusia empat bulan keluar menyelamatkan diri dengan berlindung di surau berdekatan,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, semalam.
Kakitangan swasta itu antara ratusan mangsa yang ditempatkan di PPS itu selepas kediaman mereka termasuk di Jalan Cempaka, Jalan Kenangan, Jalan Teratai dan Taman Meru Indah dinaiki air.
Sementara itu, isterinya, Nabilah Zakaria, 30, berkata, dia sekeluarga berpindah ke pusat berkenaan, kira-kira pukul 8 pagi.
“Tiga anak saya masih kecil dan kami bimbang tiada arah tuju mendapatkan perlindungan terutama bayi bongsu. Namun, saya bersyukur proses pendaftaran berjalan lancar dan kami juga sempat membawa semua dokumen penting,” ujarnya.
Sementara itu, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 60-an yang enggan dikenali berkata, dia sempat menyelamatkan diri dengan dibantu beberapa ahli keluarga.
“Hujan ketika itu memang amat lebat selama beberapa jam dan kami bersiap sedia berpindah selepas melihat air sudah memasuki rumah. Mujur keluarga membantu saya yang berkerusi roda ini berpindah ke PPS dengan selamat,” kata warga emas itu.-UTUSAN.