Sultan Mizan mahu pegawai tingkat kecekapan urus pentadbiran negeri

Sultan Mizan mahu pegawai tingkat kecekapan urus pentadbiran negeri

SULTAN Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z) Yang Amat Terpilih membawa gelaran Datuk Seri kepada Shamsul Azri Abu Bakar pada Istiadat Penghadapan, Pengurniaan Gelaran dan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, semalam.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Te­rengganu, Sultan Mizan Zai­nal Abidin menitahkan semua pegawai kerajaan supaya me­ningkatkan kecekapan mereka dalam urusan pentadbiran supaya hasil negeri dapat ditingkatkan secara mampan.

Baginda bertitah, pegawai yang cekap, berilmu dan berkemahiran tinggi mampu melaksanakan tugas dengan penuh berkesan termasuk merancang strategi kutipan hasil, mengurus sumber negeri secara optimum serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan tegas dan saksama.

“Seiring dengan perkemba­ngan semasa, beta melihat bahawa penguasaan dalam bidang pengurusan strategik, korporat, kewangan antarabangsa, komunikasi berkesan serta kefahaman yang mendalam terhadap dasar fiskal dan ekonomi semasa amatlah penting dalam memperkukuh keupayaan pegawai kerajaan.

“Pegawai yang berkaliber bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab de­ngan cekap malah berkeupayaan mengenal pasti peluang-peluang baharu bagi menjana pendapatan kepada negeri.

“Pada masa yang sama, mereka juga dapat mengurangkan ketirisan, mengekang pembaziran serta memastikan pengurusan sumber awam dilaksanakan secara berhemah, telus dan berintegriti,” titah baginda semasa Istiadat Pengurniaan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah di sini, semalam.

Baginda juga mahu usaha mitigasi dan pemuliharaan pesisir pantai yang kini diancam hakisan kritikal diberi perhatian serius demi menjamin kelesta­rian sumber semula jadi, kesejahteraan komuniti pesisir serta kedaulatan negeri.

“Hakisan pesisir pantai di negeri ini bukan sahaja me­ngubah bentuk muka bumi, malah turut menjejaskan sempadan kedaulatan negara, ter­masuk jarak Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu 200 batu nautika daripada garisan pantai.

“Perubahan garis pantai akibat hakisan ini turut memberikan implikasi besar terhadap pengiraan sempadan maritim sesebuah negeri dan sumber-sumber laut yang dahulunya berada dalam perairan Negeri Terengganu kini berisiko terkeluar daripada sempadannya,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Terengganu mahu kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dan komprehensif bagi memastikan penglibatan lebih ramai rakyat Terengganu dalam Projek Laluan Rei Pantai Timur (ECRL).

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului se­narai 130 penerima Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Kepute­raan Sultan Terengganu di sini, semalam.

Beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dua lagi penerima darjah kebesaran S.S.M.Z ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Eksekutif Melati Ehsan Holdings Berhad, Tan Sri Yap Suan Chee.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya