KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu cadangan pembinaan tembok di kawasan Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini di dimuktamadkan dengan segera.
Baginda bertitah, pada masa sama pembinaan zon penampan di kawasan di kawasan itu perlu diberikan perhatian
Titah baginda lagi, perkara tersebut perlu dipandang serius berikutan ia melibatkan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri.
“Beta sukacita dengan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam konteks federalisme.
“Beta telah dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyediakan senarai permohonan Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Justeru, beta berharap fokus dan hala tuju yang dirancang ke arah pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan memacu pembangunan sektor eknonomi sekali gus meningkatkan daya saing negeri, nasional dan antarabangsa,” titah baginda.
Berangkat mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 2025 di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam, Sultan Muhammad V turut menyeru kerajaan negeri supaya memberi keutamaan kepada pembinaan Empangan Lebir.
Titah baginda, pembinaan itu menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan.
“Seperti yang beta zahirkan sebelum ini, beta menekankan kepentingan penyelesaian segera terhadap isu banjir tahunan di negeri ini.
“Justeru, beta menggesa projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat diberikan disegerakan bagi semua fasa seperti yang dizahirkan sebelum ini,” titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah, Kerajaan Kelantan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran meneliti isu bangunan terbiar di negeri ini.
Titah baginda kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan dalam mencipta peluang ekonomi yang ada di dalam bandar bagi meningkatkan pembangunan setempat.
“Beta turut berharap kerajaan negeri memberikan perhatian kepada pembangunan bandar baharu di setiap jajahan sebagai pemangkin sektor perindustrian dan merancakkan pertumbuhan ekonomi yang diterapkan dengan konsep bandar pintar.
“Konsep itu supaya negeri beta tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global. Beta melihat negeri ini masih mempunyai daya tarikan pelaburan yang rendah, terutama pelaburan asing berbanding negeri-negeri Pantai Barat.
“Negeri-negeri Pantai Barat mempunyai jaringan pelabuhan serta kemudahan perdagangan yang lebih komprehensif,” titah baginda.
Sultan Muhammad V menyeru pembangunan infrasturuktur yang berkaitan dipercepatkan selain menyediakan insentif pengecualian cukai secara kompetetif bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan.
“Sebagai contoh pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan memberi fungsi baharu kepada dua kawasan iaitu ‘Cargo-Oriented Development di Jajahan Pasir puteh dan ‘Transit-Oriented Development di Tunjong, Kota Bharu.
“Selain memperkukuhkan sistem pengangkutan, projek ini juga secara tidak langsung akan memberikan kesan gandaan ekonomi kepada rakyat beta,” titah baginda. – UTUSAN










