‘Rumah rosak teruk, barangan cair, tiada apa yang tinggal’

‘Rumah rosak teruk, barangan cair, tiada apa yang tinggal’

SEORANG penduduk yang dibenarkan pulang mengambil dokumen penting melewati rangka kenderaan yang musnah dalam kejadian letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: “Keadaan rumah teruk, semua barangan rosak dan cair. Tiada apa-apa yang tinggal lagi.”

Demikian keluhan seo­rang penduduk Taman Put­ra Harmo­ni, Shahril Abdul, 56, selepas dia dibenarkan pulang melihat ke­adaan rumahnya yang musnah dalam kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini pada pagi Selasa lalu.

Menurutnya, dia dibenar­kan pulang ke rumahnya pu­kul 3 petang semalam se­lepas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.

“Kereta yang diparkir berhampiran lokasi kejadian turut me­ngalami kerosakan dengan bil­ah pengelap cermin dan lampu hadapan cair akibat bahang panas.

“Amat sedih melihat kea­daan rumah, namun saya dan isteri reda dengan ketentuan-Nya. Raya kali ini tidak seperti yang kami harapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Shahril, pekerja swasta berkata, hari raya kali ini tidak dapat disambut seperti sebelum ini selepas kediamannya rosak teruk dalam kejadian tersebut.

“Kami pada hari itu telah bersedia menerima kunjungan tetamu. Namun kejadian kira- kira pukul 8.10 pagi itu benar-benar mengejutkan kami sekeluarga, tidak sempat sediakan apa-apa juadah untuk sambut
tetamu,” ujarnya sayu.

Menurut Shahril, dia kini masih menunggu arahan daripada kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada rumahnya perlu dibina semula atau hanya perlu dibaik pulih.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Chow, turut meluahkan kesedihan selepas rumahnya turut musnah dalam kebakaran tersebut.

“Tengok rumah musnah. Saya tidak dapat bayangkan macam mana keadaannya. Semua silikon dan plastik dalam rumah habis cair, kesannya memang sangat teruk,” katanya.

Buat masa ini, Chow bersama keluarganya diberikan tempat tinggal sementara di sebuah hotel berhampiran yang disediakan oleh majikannya.

“Saya bersyukur ada tempat berteduh sementara, tetapi saya tetap risaukan keadaan rumah. Saya tidak tahu berapa lama perlu tinggal di sini dan bagaimana masa depan kami selepas ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN