SETIU: Seorang remaja perempuan dari Kampung Padang Serai, Guntung di sini, mendertita penyakit ketumbuhan di bahagian bawah kelopak mata kiri sejak lahir.
Tuan Nur Aleya Afisya Tuan Khairulanuar, 17, berkata, penyakit yang itu menyebabkan mata kirinya bengkak sehingga menjejas penglihatannya dan bergantung pada mata kanan untuk melihat.
“Mata kiri saya sangat sensitif dan kerap mengeluarkan air bercampur darah. Keadaan ini menyebabkan saya berasa sakit dan sering ‘ponteng’ sekolah apabila tidak sihat.
“Bengkak di bahagian bawah mata semakin membesar dan hampir menyebabkan mata kiri saya tidak dapat dibuka sepenuhnya, selain membuatkan pipi kiri turut membengkak,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.
Kata anak sulung daripada empat beradik itu, dia menjalani rawatan secara berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setiap bulan bagi mencari penawar penyakitnya itu dan disaran menjalani pembedahan.
Katanya, pembedahan itu dijangka dilaksanakan selepas dia selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.
“Saya mahu sihat seperti orang lain dan tidak mahu lagi dilihat ‘pelik’ oleh orang luar sehingga menyebabkan saya berasa malu serta rendah diri untuk keluar rumah dan berada di khalayak ramai.
“Saya mahu menjalani pembedahan supaya penglihatan saya kembali pulih dan membolehkan mengejar cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, bapanya Tuan Khairulanuar Tuan Cob, 47, berkata, setelah melihat keadaan dan penyakit anaknya itu, dia berusaha sebaik mungkin untuk memberi perawatan terbaik untuknya.
“Dia menghidap penyakit ini sejak lahir dan saya tidak pernah berputus asa untuk melihat dia kembali pulih dengan mencuba pelbagai kaedah termasuk rawatan secara moden atau tradisional,” katanya. – UTUSAN