KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) di hospital seluruh negara bagi memberikan sokongan emosi termasuk sesi kaunseling kepada mangsa penderaan seksual bawah umur termasuk yang terlibat dalam kes rogol dan sumbang mahram.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sepanjang tempoh itu perkembangan mangsa turut dipantau agensi-agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam.
Menurutnya, KKM tetap komited dalam usaha menangani kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak bawah umur di seluruh negara selain menekankan usaha yang memerlukan kerjasama dengan seluruh kementerian dan agensi kerajaan.
“Masalah ini tidak boleh hanya diletakkan di bahu KKM, tetapi kita perlu melalui pendekatan ‘whole of government’ dengan melibatkan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selain Kementerian Belia dan Sukan.
“Ini merupakan pendekatan terbaik untuk kita menggerakkan agenda pendidikan Kesihatan Reproduksi Seksual (SRH) ke seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Jalan Kelochor di sini hari ini.
Dzulkefly memberitahu, KKM akan memastikan agenda pendidikan SRH dilaksanakan untuk menyuntik kecelikan keseluruhan terhadap masalah seksual remaja dan golongan bawah umur.
Katanya, KKM memberikan sokongan kepada pendidikan SRH bukan hanya di Kelantan, sebaliknya di seluruh negara.
“Kita bersedia untuk mengemblengkan tenaga serta pakar-pakar bagi menjayakan agenda pendidikan SRH. Apabila diberikan kecelikan dan literasi, mereka akan dapat meningkatkan nilai kawalan, moral serta agama,” katanya.-UTUSAN