KUALA LUMPUR: Piala Tunku Azizah iaitu Pertandingan Tenun Pahang Diraja kembali dengan menawarkan hadiah bernilai lebih RM60,000 kepada pemenang.
Buat julung kalinya, pertandingan mengetengahkan kategori produk Kain Samping dan Sarung Corak Beragi.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah, pertandingan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada artis melalui karya kain Tenun Pahang Diraja yang berkualiti dan bermutu tinggi.
“Kain Tenun Pahang Diraja mempunyai keunikannya tersendiri, salah satunya adalah sepit udang yang tidak ada pada mana-mana kain songket di negeri lain”, titah baginda dalam sidang akhbar mengenai pertandingan itu di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini, hari ini.
Penyertaan dibuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara individu atau berkumpulan dan tidak melebihi tiga orang ahli.
Penyertaan bermula 27 Mac hingga 30 April 2025 melibatkan dua peringkat dan penilaian terhad kepada 20 penyertaan.
“Hadiah bernilai RM30,000 untuk tempat pertama, RM20,000 bagi tempat kedua dan RM10,000 bagi tempat ketiga serta 5 hadiah untuk kategori saguhati”, titah baginda.
Titah Tunku Azizah, setiap penyertaan haruslah menerapkan ‘nilai warisan Malaysia’ dalam aspek rekaan motif, warna, teknik, amalan budaya.
Baginda amat menggalakkan penyertaan daripada pelbagai lapisan umur khususnya generasi muda bagi meneruskan warisan tenun itu. – UTUSAN











