KUALA SELANGOR: “Banjir kali ini bukan biasa-biasa, kerana ia datang bersama lumpur tebal dan berbau busuk.”
Itu luahan penduduk Taman Saujana Aman yang terjejas akibat ban pecah berhampiran kawasan perumahan mereka hingga menyebabkan puluhan rumah dinaiki air kelmarin.
Menurut penduduk, Mohd. Fariq Khairy, 41, lumpur yang dibawa masuk ke dalam rumah bukan sahaja mencemari ruang tamu dan dapur, malah meninggalkan bau busuk serta kesan kotoran yang sukar dibersihkan.
“Saya terpaksa guna jet air bertekanan tinggi untuk cuci rumah. Kalau dibiarkan, harta benda akan rosak dan baunya memang tidak tertanggung,” katanya ketika ditemui semalam.
Utusan Malaysia pada 6 Januari lalu melaporkan lebih 1,000 penduduk gelisah dengan keadaan tembok konkrit di tebing Sungai Buloh sepanjang kira-kira 1 kilometer (km) apabila terdapat kesan rekahan dan retak, malah sebahagiannya sudah runtuh.
Tembok sepanjang satu kilometer yang dibina sejak dua tahun lalu itu berfungsi menghalang limpahan air dari Sungai Selangor memasuki kawasan perumahan terutama pada musim hujan, kini dilaporkan retak dan sebahagiannya telah runtuh.
Penduduk, Muhd. Syafiq Suhaimi, 32, berkata kejadian banjir baru-baru ini ini adalah yang ketiga sejak dia berpindah ke taman tersebut setahun lalu.
“Kali ini, isteri saya tak sempat selamatkan kereta kerana air naik terlalu cepat. Saya pula bergegas pulang dari gerai ayam goreng sebaik dapat tahu,” katanya.
Timbalan Pengerusi taman, Mohamad Rizuan Sulaiman memaklumkan banjir semakin kerap berlaku sejak 2021 dan aduan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun tiada penyelesaian.
“Penduduk menuntut tindakan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya. – UTUSAN