Penduduk gesa selesaikan isu banjir termenung

Penduduk gesa selesaikan isu banjir termenung

DARUS Buang melihat air banjir yang masih bergenang di halaman rumahnya walaupun sudah tiga minggu berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Penduduk di beberapa kawasan penempatan di Sri Medan di sini menggesa kerajaan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah banjir termenung daripada terus ber­ulang di kawasan berkenaan.

Menurut mereka, isu tersebut perlu diatasi segera jika tidak penduduk akan terus berdepan masalah sama terma­suk me­nyambut Aidilfitri dalam keadaan rumah digenangi air sekurang-kurangya dalam tempoh 15 tahun lagi.

Penduduk Kampung Parit Warijo, Napisah Nangin, 63, berkata, jangkaan berkenaan berdasarkan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut sepanjang tempoh itu dalam musim monsun timur laut (MTL) iaitu pada bulan Ja­nuari, Februari, Mac, Disember, November dan Oktober.

Katanya, kedudukan Sri Me­dan khususnya Kampung Parit Warijo agak rendah dari paras sungai selain menjadi tempat limpahan air dari kawasan lain seperti Bekok dan Chaah.

“Kali ini banjir termenung agak lama, sudah tiga minggu air masih bergenang dalam dan di halaman rumah.

“Keadaan itu membuatkan sambutan Aidilfitri agak suram kerana tetamu perlu meranduk air separas betis untuk sampai ke rumah berhari raya,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Napisah lagi, sepanjang tempoh ini keluarganya terpaksa ke stesen minyak berdekatan untuk membuang air kerana tandas di rumah tidak boleh digunakan akibat ditenggelami air.

Seorang lagi penduduk, Darus Buang berkata, dia dan keluarga tidak dapat menerima tetamu sempena Aidilfitri ini kerana ruang tamu rumahnya terpaksa dijadikan tempat tidur selepas semua bilik tidur dimasuki air.

Ujarnya, kedudukan rumah yang hanya kira-kira 20 meter dari Sungai Simpang Kiri menyebabkan kediaman yang dihuni sejak puluhan tahun itu masih lagi ‘berendam air’

“Insya-Allah jika air surut nanti baru kami bercadang menerima kedatangan tetamu namun perlu menunggu rumah siap dibasuh terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN