GUA MUSANG: Seramai 50 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar di sini, ‘bermandi peluh’ membina sendiri jambatan sementara bagi menggantikan jambatan besi yang runtuh akibat dihanyutkan arus deras sungai ekoran banjir, hampir sebulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Hanan Anjang berkata, jambatan yang dibina menggunakan kayu, buluh dan plat besi itu hanya boleh dilalui penunggang motosikal dan pejalan kaki.
“Ini kali kedua penduduk bergotong-royong membina kembali jambatan terbabit untuk kemudahan penduduk menyeberang Sungai Balar.
“Sebelum ini kami telah membina jambatan sementara tetapi runtuh dibadai arus sungai akibat hujan lebat Isnin lalu. Penduduk di sini mula membina jambatan pukul 10 pagi semalam dengan mencari batang pokok serta buluh dan dalam masa kira-kira tiga jam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Hanan berkata, jambatan sementara itu kelihatan lebih kukuh apabila menggunakan kerangka besi daripada jambatan gantung yang rosak awal bulan lalu.
Katanya, jambatan ini penting buat penduduk untuk urusan harian selain kegunaan guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Balar selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri.
Seorang lagi penduduk, Along Uda, 45, berharap jambatan baharu dapat dibina secepat mungkin oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Katanya, Jakoa sudah membuat tinjauan dan mengukur jarak pada minggu lalu untuk membina jambatan baharu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 400 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga buah kampung di Pos Balar di sini, terputus hubungan apabila jambatan besi yang menjadi penghubung utama untuk ke bandar Gua Musang runtuh dibadai arus deras Sungai Balar, 9 Mac lalu. – UTUSAN










