KLANG: Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta jenis Honda Jazz dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi lorong dekat Plaza Tol Bukit Raja, di Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.12 pagi sebelum mengerahkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara ke tempat kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri dan melanggar pembahagi lorong tol. Terdapat seorang lelaki berusia 30-an tersepit kaki kiri di bahagian pemandu.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dalam keadaan sedar dan cedera sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan. – UTUSAN