PETALING JAYA: Pasaran saham Asia terus merudum mengakibatkan kerugian berbilion dolar akibat kenaikan tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara-negara termasuk ASEAN.
Turut terjejas ialah Bursa Malaysia yang hilang RM48.47 bilion nilai pasaran, diheret oleh prestasi pasaran serantau yang lemah di tengah-tengah kebimbangan semakin meningkat mengenai potensi perang perdagangan global dilancarkan Amerika Syarikat (AS).
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menjunam 80 mata kepada 1,420.22 pada sesi dagangan pagi semalam, kejatuhan harian paling teruk sejak Mac 2008. Ia ditutup di paras 1,443.80, iaitu 60.34 mata lebih rendah daripada 1,504.14 semasa penutup Jumaat.
Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 1,296 berbanding 122, manakala 170 kaunter tidak berubah, 771 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Di peringkat serantau, Nikkei 225 menjunam 2,644 mata atau 7.83 peratus kepada 31,136.58, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong susut 3,021.51 mata atau 13.22 peratus kepada 19,828.30.
Indeks Straits Times Singapura pula susut 293.06 mata atau 7.66 peratus kepada 3,532.80 manakala Indeks Kospi Korea Selatan jatuh 137.22 mata atau 5.57 peratus kepada 2,328.20.
Niaga hadapan AS juga menandakan kelemahan selanjutnya di mana S&P 500 hilang 322.44 mata atau 5.97 peratus kepada 5,074.08, manakala Dow Jones susut 2,231.07 mata atau 5.5 peratus kepada 38,314.86 manakala Nasdaq jatuh 962.82 mata atau 5.82 peratus kepada 15,587.79.
Tinjauan pertumbuhan global yang lebih suram menyebabkan harga minyak berada di bawah tekanan berikutan kerugian mendadak minggu lalu. Brent jatuh AS$2.65 kepada AS$62.93 setong, manakala minyak mentah AS, WTI turun AS$2.71 kepada AS$59.28 setong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menentukan secara terperinci kenaikan tarif 24 peratus oleh AS itu kepada beberapa sektor ekonomi negara.
Beliau berkata, penentuan kadar tarif dilihat sangat lemat, kurang pertimbangan wajar dan boleh dipertikai apabila AS turut mengenakan tarif ke atas negara tertentu yang tidak didiami manusia.
“Kita tidak boleh pandang ringan, walaupun kita tahu ini sesuatu yang agak aneh sebab antara negara yang paling kuat mendukung semangat perdagangan bebas dan penubuhan organisasi perdagangan dunia adalah negara kaya, termasuk dan terutamanya AS.
“Beberapa negara yang disebut (yang disasarkan oleh tarif) termasuk pulau-pulau yang hanya diduduki oleh penguin, itu maknanya mungkin (tarif) belum benar teliti,” katanya berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Menurut Anwar, Jemaah Menteri akan memastikan beberapa pengecualian yang diberikan negara kuasa besar itu kerana ruang perbincangan dan perundingan masih ada.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan, purata tarif import ke atas barangan dari AS ke negara ini hanya sekitar 5.6 peratus, bukan 47 peratus seperti didakwa.
Beliau berkata, Malaysia tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif timbal balas tersebut dan sedang mendapatkan penjelasan mengenainya.
“Mengikut kefahaman kami, pengenaan tarif oleh AS bukanlah refleksi tarif yang dikenakan kepada mereka, tetapi disebabkan lebihan dagangan ke atas mereka.
“Malaysia memiliki lebihan dagangan sebanyak AS$25 bilion ke atas AS begitu juga negara seperti Vietnam yang dikenakan tarif lebih tinggi, sedangkan Singapura misalnya, yang memiliki defisit perdagangan dengan AS hanya dikenakan tarif timbal balik 10 peratus.
“Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai solusi yang akan mengekalkan akses pasaran, menarik pelaburan asing yang berterusan, dan menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan Malaysia. Buat masa ini, Malaysia tidak akan mengambil sebarang tindakan timbal balas,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, MITI akan menyemak semula sasaran pertumbuhan pelaburan diluluskan sebanyak lima peratus tahun ini susulan pengenaan tarif tersebut, yang mampu memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini, dan mungkin tahun-tahun akan datang.
“Dari segi pelaburan yang diluluskan, maklum balas awal dari pelabur asing dan domestik kebanyakannya menyatakan masih terlalu awal untuk menilai impak kepada operasi masing-masing sehingga tarif dilaksanakan pada 9 April.
“Beberapa pelabur berkongsi bahawa rantaian bekalan mereka akan terkesan, terutama dari segi kontrak pembuatan dan ada pelabur Malaysia yang sedang memperlahankan pelan pengembangan perniagaan masing-masing, mula berjimat, sambil memfokus kepada perluasan pasaran.
“Ketika sesetengah eksport Malaysia akan menjadi lebih kompetitif berbanding negara lain yang dikenakan tarif lebih tinggi, kesan pengenaan tarif kepada permintaan global dikhuatiri akan menurunkan nilai eksport secara keseluruhan.
“Begitu juga sekiranya ramai pelabur datang ke Malaysia disebabkan kadar tarif lebih rendah, ia akan meningkatkan lebihan dagangan negara berbanding AS yang telah mengakibatkan pengenaan tarif timbal balas ini, jelas ia bukannya satu solusi jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










