Parkir pintar tetap dilaksanakan, Perlis rugi RM2.4 juta guna kaedah kupon - MB - Utusan Malaysia

Parkir pintar tetap dilaksanakan, Perlis rugi RM2.4 juta guna kaedah kupon – MB

PELAKSANAAN sistem parkir pintar kini berada pada fasa percubaan bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan demi kebaikan semua pihak di Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri tetap dengan pendirian meneruskan pelaksanaan sistem parkir pintar di seluruh kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pelaksanaan sistem baharu itu kini sedang menjalani tempoh percubaan terlebih dahulu bagi membolehkan beberapa penambahbaikan dilaksanakan demi kemudahan semua pihak.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 8,500 lot parkir akan dilaksanakan di seluruh negeri ini, namun untuk peringkat awal, pelaksanaan sistem baharu itu hanya melibatkan 6,000 lot parkir terlebih dahulu.

“Kita akan teruskan dulu malah jika ada kelemahan maka kita akan perbaiki. Dan mudah-mudahan ia akan menjadi kemudahan buat seluruh rakyat negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Sistem parkir pintar merupakan sebahagian daripada inisiatif MPK ke arah kemajuan di negeri ini malah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi jaminan bahawa pelaksanaannya tidak akan mengundang kesesakan seperti dibangkitkan sesetengah pihak di media sosial.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri mengalami kerugian hanya dalam tempoh tiga tahun mencecah sehingga RM2.4 juta melalui penggunaan kaedah parkir berkupon dan ia merupakan jumlah cukup besar.

“Objektif utama kepada peralihan sistem parkir baharu ini adalah untuk memastikan perkhidmatan parkir di kawasan seliaan MPK menjadi lebih selamat, teratur dan berkesan selain ia juga membawa pulangan hasil kepada negeri sebanyak RM1 juta setahun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Shukri turut menasihati seluruh masyarakat negeri ini agar dapat menerima pembaharuan yang ingin dibawa demi kebaikan bersama.

Tambahnya, semua kos pembangunan sistem parkir tersebut juga ditanggung oleh pihak operator dan ia tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan negeri.

“Jadi saya harap semua pihak dapat bersabar sementara dan sistem baharu ini dalam tempoh percubaan malah jika memerlukan penambahbaikan, kita akan laksanakan,” katanya.

Snatch-P pula merupakan penyedia sistem pengurusan parkir pintar itu yang dilantik MPK yang sudah berpengalaman dalam bidang tersebut lebih 20 tahun.

Kelebihan pelaksanaan sistem parkir pintar tersebut antaranya ia tidak akan menyebabkan kenaikan caj parkir sebaliknya lebih menjimatkan, malah bagi lima belas minit pertama adalah percuma selain caj parkir pula hanya serendah RM0.60 sen sejam, paling murah di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN