Pak Lah cetus penubuhan UMK

Pak Lah cetus penubuhan UMK

ABDULLAH AHMAD BADAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jasa Perdana Menteri ke-5 Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah kepada dunia pendidikan di negeri ini cukup besar apabila beliau merupakan individu yang menjadi pencetus kepada penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Perkara tersebut dikongsikan oleh bekas Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman rasmi Facebook miliknya semalam.

“Penubuhan UMK diumumkan oleh Allahyarham dalam Parlimen. Saya yang ketika itu berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi telah diamanahkan untuk melaksanakan penubuhannya,” katanya.

Mustapa memberitahu, Pak Lah merupakan pemimpin yang banyak membuat jasa termasuk menaikan gaji penjawat awam dengan kadar tertinggi.

Katanya, Allahyarham turut memperkenalkan Islam Hadhari dan mata pelajaran jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF).

“Beliau (Pak Lah) pemimpin berjiwa besar dan mempunyai tahap kesabaran amat tinggi.

“Semoga Allah ampuni segala dosa negarawan ini (Allahyarham Pak Lah) dan menempatkan rohnya bersama insan soleh,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mening­gal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur malam tadi akibat masalah pernafasan.

Menurut menantunya yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 malam tadi pada usia 86 tahun.

Pak Lah lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Allahyarham memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN