KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-91 di KD Sri Gombak di sini semalam berlangsung penuh istiadat dan sarat emosi apabila mengenang jasa 10 anggota yang terkorban dalam tragedi helikopter tahun lalu.
Pada 23 April 2024, dua helikopter TLDM, HOM-AW139 dan Fennec, bertembung semasa raptai perbarisan di Pangkalan TLDM Lumut, mengorbankan semua anak kapal.
Bertemakan ‘TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara’, acara ini mengangkat semangat kesetiaan, kesiapsiagaan dan profesionalisme warga laut dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur, istiadat perbarisan kali ini melibatkan enam platun merangkumi 133 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Perbarisan berkonsep statik ini disempurnakan oleh Timbalan Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Rosli Abd. Ghani yang turut membacakan Perutusan Hari TLDM mewakili Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain.
Komander Harulizam Haron mengetuai perbarisan manakala Pegawai Waran I PRL Mohd. Harmizie Mohd. Fawzli bertugas sebagai Pegawai Waran Perbarisan.
Dalam ucapannya, Zulhelmy mengingatkan warga TLDM agar terus memperkukuh semangat juang, menghayati nilai pengorbanan rakan seperjuangan serta mengekalkan disiplin sebagai benteng kedaulatan negara. – UTUSAN










