PETALING JAYA: Malaysia hanya memiliki 300 orang pakar perubatan kecemasan dan jumlah tersebut tidak mencukupi dan kritikal berdasarkan nisbah jumlah penduduk di negara ini iaitu hampir 34 juta orang.
Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, Malaysia dianggarkan memerlukan kira-kira dua kali ganda daripada jumlah pakar yang ada sekarang bagi membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Malah katanya, semua hospital awam di seluruh negara perlu mempunyai sekurang-kurang seorang pakar untuk menjalankan tugas-tugas diperlukan.
“Dalam perkhidmatan kecemasan ada tiga isu perlu ditangani iaitu bilangan pakar kecemasan yang masih kurang terutama di hospital daerah dan kakitangan sokongan terlatih seperti paramedik.
“Selain itu, ada hospital yang ruangnya sangat kecil dan sempit serta sesak. Kerajaan oleh itu peru melihat isu ini secara keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Berdasarkan portal KKM, terdapat lebih 130 buah hospital kerajaan di seluruh negara.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan pakar perubatan kecemasan di 10 buah hospital tanpa pakar di seluruh negara secara berperingkat menjelang Ogos ini.
Antara hospital tersebut ialah Hospital Tapah; Hospital Batu Gajah; Hospital Seri Iskandar; Hospital Sabak Bernam; Hospital Sungai Siput dan Hospital Tumpat.
Dalam pada itu, Dr. Zainal Ariffin berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan jumlah penempatan pakar di semua hospital berdasarkan beberapa faktor.
“Antara faktor yang perlu difikirkan termasuk bilangan pesakit dan ketersediaan doktor sokongan.
“Di samping itu, kerajaan juga perlu melihat kepada jumlah rujukan trauma,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, langkah kerajaan itu disifatkan sebagai penting ke arah penyampaian sistem kesihatan awam lebih baik sekali gus mengoptimumkan penggunaan katil hospital.
“Tidak semua kes kecemasan memerlukan kemasukan ke wad dan pesakit ini boleh dirawat sewajarnya oleh pakar terbabit,” ujarnya. – UTUSAN










