London tuan rumah rundingan Russia-Ukraine

London tuan rumah rundingan Russia-Ukraine

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran akibat serangan dron Russia di Poltava, Ukraine.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Wakil diplomat dari United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan rundingan baharu di London bagi mencari jalan mencapai gencatan senjata dalam usaha menamatkan perang selama lebih tiga tahun antara Ukraine dan Russia.

Rundingan berlangsung di tengah spekulasi Russia mungkin bersedia menghentikan pencerobohannya sebagai pertukaran kepada beberapa konsesi besar dari pihak Barat.

Walaupun usaha diplomatik untuk menamatkan konflik dipercepatkan, hala tuju sebenar dan kemungkinan kejayaannya masih tidak jelas.

Awalnya, Presiden AS, Donald Trump dijangka menghantar utusan khasnya, Steve Witkoff, dan Setiausaha Negara, Marco Rubio ke London namun, kedua-duanya menarik diri dan utusan Ukraine Trump, Jeneral Keith Kellogg dihantar sebagai wakil.

Pada malam Selasa, Rubio mengadakan perbualan telefon dengan Setiausaha Luar UK, David Lammy dan menyatakan harapannya untuk menjayakan mesyuarat teknikal yang substantif dan baik.

David Lammy pula menyifatkan perbualan tersebut sebagai produktif, menjelang detik kritikal untuk Ukraine, Britain dan keselamatan Euro-Atlantik selepas rundingan diteruskan secara intensif.

Sementara itu, Rumah Putih memaklumkan Witkoff dijangka ke Moscow minggu ini untuk pertemuan keempatnya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Perkembangan ini berlaku susulan laporan Financial Times yang menyebut Russia mungkin bersedia menghentikan serangan di sepanjang barisan hadapan dan melepaskan beberapa tuntutan wilayah, dengan syarat AS mengiktiraf kedaulatan Russia ke atas Crimea.

Bagaimanapun, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan, beliau tidak menerima sebarang cadangan seperti itu dan menolak sebarang pengiktirafan terhadap Crimea sebagai wilayah Russia.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×