JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara China maut, manakala rakannya melecur dalam kejadian kebakaran rumah teres satu tingkat di Taman Daya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, Wu Zhongdi, 47, ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, manakala rakan serumah mangsa berjaya menyelamatkan diri.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan forensik bomba dan polis. Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.
“Kebakaran dapat dipadamkan 30 minit kemudian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Muhamad Syahhir Ikhwan Mohamad memaklumkan pihaknya menerima panggilan tentang kebakaran itu pada pukul 10.54 malam dan ketika tiba di lokasi, rumah itu telah musnah hampir 80 peratus.
“Terdapat tujuh orang termasuk seorang wanita Indonesia dalam rumah tersebut yang dipercayai disewa. Mangsa yang maut itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas rumah tersebut,” katanya sambil memberitahu operasi tamat pada pukul 1.30 pagi. – UTUSAN










