KUANTAN: Legasi kepimpinan Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi tetap hidup, terpahat sejarah, tersemat dalam sanubari rakyat dan terus menjadi obor kepada perjuangan membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif serta berteraskan nilai.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pemergian Allahyarham kehilangan besar buat negara.
“Dengan penuh rasa hiba dan dukacita, beta menzahirkan ucapan takziah atas pemergian negarawan ulung dan juga bapa pembangunan modal insan, Allahyarham Tun Abdullah.
“Seorang tokoh yang dikenang bukan hanya kerana jasanya kepada negara, tetapi juga kerana kelembutan budi dan ketinggian pekertinya. Di bawah kepemimpinan beliau juga, lahirlah gagasan besar yang mencerminkan roh Islam dan nilai sejati iaitu Islam Hadhari.
“Allahyarham juga dikenang atas jasa memacu pembangunan wilayah menerusi pelancaran koridor ekonomi wilayah seperti ECER, NCER, SCORE dan Iskandar Malaysia; yang membuka lembaran baharu dalam pemerkasaan ekonomi luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan antara negeri,” titah baginda.
Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam akibat masalah pernafasan pada Isnin lalu.
Menurut menantunya yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 malam pada usia 86 tahun.
Pak Lah yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Al-Sultan Abdullah bertitah, semoga roh Allahyarham Tun Abdullah ditempatkan dalam kalangan para solihin dan dirahmati Allah SWT. – UTUSAN