KPM laksana intervensi segera

KPM laksana intervensi segera

FADHLINA Sidek bersama pemenang anugerah pada Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan intervensi segera bagi semua subjek termasuk Matematik yang mengalami penurunan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebaik sahaja keputusan SPM keluar, pihak­nya akan melakukan intervensi-intervensi terhadap subjek yang menunjukkan penurunan menerusi pelbagai pendekatan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan putus asa dalam melihat intervensi sesuai kepada semua subjek termasuk Matematik.

“Sebagai contoh, tahun lalu apabila Bahasa Melayu dan Sejarah menunjukkan penurunan, kita terus buat intervensi segera.

“Dan tahun ini, keputusan itu menunjukkan intervensi kita berjaya, khususnya untuk Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya ditemui selepas menyem­purnakan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024 di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang mendedahkan seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, proses intervensi bukan untuk subjek tertentu sahaja sebaliknya semua subjek.

“Komitmen kita jelas iaitu kita akan lebih bekerja keras untuk memastikan untuk tahun-tahun mendatang untuk setiap subjek ini menunjukkan pe­ningkatan termasuk Matematik.

“Insya-Allah, saya sangat yakin dan percaya setiap intervensi itu ada hasil dan me­nunjukkan kekuatan guru-guru kita dalam menangani isu-isu keciciran ataupun kegagalan ini dengan lebih efektif,” katanya.

Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024, jumlah itu merangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan, sekaligus mencatatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil oleh calon-calon SPM.

Mengulas faktor kemerosotan pencapaian subjek Ma­tematik itu, pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, penguasaan pelajar-pelajar dalam subjek ini adalah lemah sebelum mereka menduduki SPM.

Menurutnya, kandungan atau silibus Matematik terlalu sukar dan padat turut menjadi faktor kegagalan murid yang telah pun diakui sendiri pihak KPM sehingga mereka melaksanakan intervensi kurikulum pada tahun lalu di pe­ringkat sekolah rendah untuk subjek Sains dan Matematik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN