SEREMBAN: Penyediaan hotel-hotel bertaraf lima bintang berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, kewujudan dan pembinaan hotel-hotel mewah itu juga pasti menarik kehadiran pelancong antarabangsa termasuk dari China.
Katanya, ketika ini kemudahan hotel lima bintang hanya terdapat di pantai peranginan Port Dickson.
Sehubungan itu, pembinaan sebuah hotel dengan taraf yang sama di bandar adalah sangat dialu-alukan bagi memastikan Negeri Sembilan terus menjadi destinasi kunjungan.
“Hotel bertaraf lima bintang ini sudah dimeterai memorandum persefahaman baru-baru ini dan dijangka bakal beroperasi pada November tahun ini juga.
“Jika ada pemaju (lain) yang berminat, mereka kena ada keyakinan dan kerajaan negeri boleh memberi keyakinan tersebut.
“Kami akan memudah cara proses tersebut demi melonjakkan lagi kemudahan pelancongan di negeri ini,” katanya pada Majlis Perasmian Matta Fair Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan sebuah hotel berjenama antarabangsa akan dibuka dan memulakan operasi akhir tahun ini yang melibatkan pelaburan hampir RM100 juta.
Dalam pada itu Nicole Tan berkata, pelabur yang berminat boleh juga merancang untuk pembinaan pusat konvensyen dan pasar raya baharu dengan konsep premium outlet di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Matta Negeri Sembilan, Lee Fook Moi berkata, penganjuran acara pameran selama tiga hari bermula hari ini itu sudah pasti akan turut mempromosikan produk dan pakej pelancongan menarik di Negeri Sembilan.-UTUSAN.