PETALING JAYA: Ketegangan perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China hanya memberi kesan jangka pendek kepada Malaysia sekali gus tidak meletakkan keadaan ekonomi negara berada dalam tahap kritikal.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCIEF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ketegangan tersebut hanya memberi kesan sementara pada Malaysia
Ini kerana, kata beliau, jumlah perdagangan dua hala dengan China pada tahun lalu mencecah RM437.8 bilion manakala dengan AS pula mencatat RM324.9 bilion sekali gus menandakan kedua-dua negara itu adalah rakan dagangan yang penting untuk Malaysia.
“Ketegangan perdagangan antara AS-China hanya memberi kesan jangka pendek dan semuanya akan terjawab dalam tempoh tiga bulan dari sekarang dengan mengambil kira perkembangan keadaan dunia ketika itu.
“Saya secara peribadi merasakan Donald Trump (Presiden AS) akan menangguhkan lagi tarif timbal balik itu atau membatalkan ia sepenuhnya memandangkan beliau sendiri sedang menghadapi tekanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Baharom, kesan dihadapi Malaysia itu memberi ruang kepada negara untuk merancang strategi jangka masa panjang.
“Jadi seharusnya Malaysia lebih tenang dan sabar. Jangan ada suara-suara sumbang, sama ada dari bekas pemimpin kerajaan, pembangkang serta lain-lain yang memaksa kerajaan melutut kepada AS,” ujarnya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pelaksanaan tarif import timbal balas oleh AS ke atas beberapa negara termasuk Malaysia boleh menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan negara dengan China.
Perdana Menteri berkata, langkah AS mengenakan tarif dan cukai import yang tinggi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, tempoh penangguhan yang diumumkan AS sebelum ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan dan pengeluar di Malaysia bagi menjamin kesejahteraan ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan dan pengeluar perlu mempercepatkan serta menggandakan pengeksportan barangan dari Malaysia ke AS sebelum tempoh 90 hari itu tamat.
“Pada masa sama, kerajaan perlu memulakan proses rundingan bagi mengurangkan atau memansuhkan sepenuhnya tarif tersebut. Jika ini boleh dilakukan maka akan boleh mengelakkan Malaysia daripada terlibat dengan perang dagang yang sedang berlaku ketika ini.
“Pengeluar pula perlu mencari destinasi-destinasi baharu yang mempunyai potensi untuk mengeksportkan barangan mereka dengan dukungan daripada pihak kerajaan,” katanya.
Tambahnya, ketegangan antara China-AS pasti menyebabkan Malaysia mendapat tempias terutama daripada aspek ekonomi.
“Malaysia mungkin mendapat tempias dari perang dagang itu memandangkan Malaysia menjual bahan mentah kepada China yang kemudiannya dieksport ke AS tetapi disebabkan tarif yang dikenakan sangat tinggi, pelanggan-pelanggan AS mungkin tidak mampu lagi membeli barangan berkaitan.
“Ini akan menyebabkan Malaysia tidak lagi mendapat permintaan daripada China, sekali gus menurunkan jumlah eksport negara kita ke republik itu yang pada ketika ini merupakan terbesar,” ujarnya. – UTUSAN










