Kerajaan negeri perkenal pelancongan baharu menuju Tahun Melawat Malaysia - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri perkenal pelancongan baharu menuju Tahun Melawat Malaysia

ABU BAKAR HAMZAH.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan pelancongan baharu bagi merancakkan lagi sektor berkenaan yang semakin berkembang di Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, objektif pelaksanaan itu adalah bagi meneruskan kemeriahan dan kesinambungan pelancongan di Perlis sekali gus sebagai persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri akan memfokuskan kepada industri pelancongan yang berimpak dan memberi pulangan hasil buat negeri.

“Fokus akan diberikan kepada lokasi baharu yang lebih segar seperti di kawasan Wang Gunung, Banjaran Nakawan bermula dari Kompleks Eko Pelancongan Bukit Ayer ke Wang Ulu merangkumi jarak sekitar 17 kilometer.

“Lokasi ini berpontesi diketengahkan untuk komponen agro pelancongan, pelancongan sukan dan eko pelancongan yang mampu memberi impak serta nilai komersial,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Perlis terus menjadi tumpuan apabila dalam tempoh Januari dan Februari lalu hampir satu juta pengunjung direkodkan ke negeri ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum ini turut bertitah banyak perubahan dan kemajuan dilihat telah berlaku kebelakangan ini di Perlis khususnya dalam aspek pelancongan.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kawasan yang dicadangkan sebagai lokasi pelancongan baharu itu dilihat sesuai bagi penganjuran pelbagai aktiviti pelancongan dan sukan seperti golf, pertandingan seni suara burung, sukan berkuda, pertunjukan microlight atau pesawat ringan, acara berbasikal dan pelbagai lagi.

“Acara sukan pelancongan lain yang boleh dilaksanakan di sana adalah seperti Perlis Cyclo Fest dan Nakawan ULTRA Marathon yang diiktiraf oleh media luar negara malah turut mendapat kedudukan ketiga laluan denai tercantik di Asia oleh Time Out Asia.

“Selain itu, kita akan memberi nafas baharu kepada lokasi-lokasi yang telah lama wujud seperti Taman Ular dan Reptilia, Taman Buah-buah Eksotik, Taman Herba, Kompleks Basikal Lasak, Bukit Ayer Glamping, Nakawan Basecamp, Litar Lumba Motocross dan Pusat Kecemerlangan harumanis.

“Kita juga akan melibatkan Komuniti setempat secara aktif dalam agro pelancongan antaranya seperti penghasilan produk herba yang berpotesi besar di Banjaran Nakawan iaitu banjaran Batu Kapur terpanjang di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga bercadang memperkenalkan pelancongan gastronomi di Perlis iaitu merupakan salah satu aktiviti pelancongan yang memfokuskan pengalaman menikmati hidangan merangkumi makanan dan minuman istimewa tempatan atau antarabangsa di sesuatu kawasan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya