KOTA BHARU: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menyita pelbagai jenis kayu yang diproses tanpa permit termasuk peralatan berjumlah lebih RM31.2 juta selepas menyerbu lapan buah kilang di sekitar negeri ini menerusi Op Khazanah yang bermula semalam.
Serbuan yang dilakukan oleh Batalion 7, Batalion 8 dan Batalion 9 PGA turut disertai oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.
Komandernya Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi telah menjumpai sebanyak 5,537 batang kayu pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM14.983 juta.
“Selain itu kita menjumpai 25 buah jentera berat pelbagai jenis, alat pemotong kayu (93), mesin star venir (3), penimbang lori (1), mesin chip (1) dan tong gas (2).
“Kita dapati kesemua premis itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 93 (2) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Seksyen 3 (2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 selain tidak mempunyai lesen operasi dari pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, semasa serbuan pihaknya turut menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan 20 rakyat tempatan bagi membantu siasatan.
Katanya, semua PATI itu telah diserahkan kepada Jabatan Siatasan Jenayah untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Hasilan kayu termasuk jentera yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan tindakan lanjut.
“Kita (Briged Tenggara PGA) sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar peraturan sepanjang melaksanakan Op Khazanah,” ujarnya.-UTUSAN