KANGAR: Pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi amat dirasai oleh seluruh rakyat di negara ini.
Serentak dengan itu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkenan agar bendera negeri dikibarkan separuh tiang selama sehari bermula, hari ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pelaksanaan itu sebagai tanda penghormatan ke atas Tun Abdullah.
“Kerajaan negeri turut merasa kehilangan atas pemergian Tun Abdullah yang merupakan seorang pemimpin rendah diri dan sangat sederhana dalam semua tindakan. Rakyat Perlis mendoakan agar roh Tun Abdullah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), pukul 7.10 malam, semalam.
Perdana Menteri kelima itu dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan menjadi Perdana Menteri bermula dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.
Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu pula berkata, Allahyarham Tun Abdullah merupakan individu penting yang terlibat dalam pelbagai inisiatif pembangunan termasuklah penubuhan Koridor Pembangunan Ekonomi Utara (NCER).
Katanya, beliau pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima itu dan pelaksanaan projek tersebut sememangnya memberi manfaat kepada Perlis malah telah banyak industri masuk ke negeri ini.
“Kemasukan pelabur hasil inisiatif Tun Abdullah turut membuka banyak peluang pekerjaan khususnya buat anak-anak tempatan.
“Allahyarham Tun Abdullah juga merupakan pemimpin lemah lembut dan mempunyai karakter tersendiri yang disanjung oleh semua pihak.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan saya berharap agar ahli keluarganya juga dapat bersabar,” kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis itu.-UTUSAN