PONTIAN: Usia perkahwinan pasangan muda yang meniti 12 tahun, menerima dugaan apabila suami yang menjadi tonggak dan harapan keluarga tidak mampu lagi bekerja.
Menurut Norhani Mohd. Salleh, 34, suaminya, Muhammad Sharul Rahim Md. Din, 34, menghidapi penyakit angin ahmar pada bahagian kiri anggota badan dan kaki sejak empat tahun lalu menyebabkan dia tidak mampu bercakap serta menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Penyakit yang dihidapi suaminya bermula dengan tekanan darah tinggi dan kencing manis sehingga memberikan kesan terhadap kesihatannya.
“Sebelum ini, suami pernah bekerja di Tanjung Bin selama 11 tahun sebelum bekerja kampung dan kini kami hanya mengharapkan belas ihsan keluarga dan penderma. Kami mempunyai dua orang anak, seorang lelaki berusia 11 tahun dan perempuan berusia lapan tahun yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Boh.
“Mujur mereka menerima program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah pada setiap hari untuk bersarapan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Dinar, Serkat, dekat sini.
Bagi menampung perbelanjaan harian, Norhani bekerja di rumah dengan memproses barangan dari kilang, namun pendapatan tidak menentu, bergantung kerja yang disiapkan.
“Setakat ini kami tidak menerima sebarang bantuan dan awal tahun ini baru sahaja permohonan dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi bantuan untuk suami,” katanya memberitahu, keluarganya kini tinggal di rumah ayahnya berusia 75 tahun bersama tiga lagi penghuni termasuk adik iparnya yang telah berkeluarga dan bekerja di Tanjung Bin.
Memandangkan tidak mampu untuk mengurus diri, suaminya terpaksa bergantung lampin pakai buang setiap hari.
“Dia perlukan tiga hingga empat keping lampin sehari, ada yang saya beli dan ada hasil daripada sumbangan orang ramai. Disebabkan masalah kewangan, temu janji suami bagi rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru pun beberapa kali terpaksa ditangguhkan,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, dia bersyukur kerana mendapat bantuan zakat daripada Kumpulan Malakoff sebanyak RM300 yang digunakan bagi membeli pakaian untuk anak-anaknya.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB Muhammad Sharul bernombor 7628059618 atau menghubungi Norhani menerusi talian 013-233 7671 untuk keterangan lanjut. – UTUSAN