Guna lukisan kartun tarik kanak-kanak minat al-Quran

Guna lukisan kartun tarik kanak-kanak minat al-Quran

MOHD. Nasrullah Che Halim bersama kanak-kanak yang menyertai bimbingan mengingati maksud al-Quran di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang pelukis menggunakan lukisan kartun bagi menarik minat kanak-kanak terhadap al-Quran dan menggalakkan mereka mempelajari serta membaca kitab suci itu dengan betul.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Nasrullah Che Halim atau ‘Ustaz Kartun’ berkata, keadah itu bukan sahaja membantu proses hafazan malah mengukuhkan pemahaman ke atas setiap ayat yang terkandung dalam al-Quran.

“Hasrat saya supaya pengajarannya lebih mudah diterima pelajar. Ada masa kanak-kanak tidak dapat fokus atau mudah bosan dan cepat mengantuk ketika belajar.

“Mereka adalah manusia yang aktif dan perlu diajar secara aktif melalui pendekatan berbeza. Menerusi program, saya terapkan kaedah menyeronokkan dalam melatih kanak-kanak memahami dan menghafal ayat-ayat al-Quran menggunakan lukisan kartun,” katanya ditemui di Kampung Banggol Pak Esah, di sini semalam.

Mohd. Nasrullah membe­ritahu, lukisan yang dihasilkan tidak perlu cantik sebaliknya diselitkan kefahaman terhadap intipati dan maksud firman ­Allah SWT yang terkandung dalam setiap surah.

“Pada masa sama, proses bimbingan akan turut diberikan supaya kanak-kanak mudah mengingati ayat-ayat al-Quran, maksud tersurat dan tersirat ditafsirkan secara lisan,” ujarnya.

Mohd. Nasrullah yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai pelukis kartun berkata, dia turut mengetengahkan isu-isu pendidikan, kekeluargaan, remaja, masyarakat dan agama dalam setiap karya dihasilkan.

“Moga usaha murni dapat membantu lebih ramai umat Islam membaca dan memahami al-Quran serta diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN