TANJUNG MALIM: Penduduk Taman Seri Emas, Bidor dekat sini menggesa pihak berwajib memberi perhatian terhadap keadaan di kawasan perumahan tersebut yang rosak akibat mendap dan berlubang.
Penduduk berkata, kerosakan jalan itu semakin teruk dan sukar dilalui kenderaan terutama semasa hujan sehingga membahayakan pengguna.
Penduduk, Zulkifli Lebar, 60, berkata, keadaan jalan yang mendap dan rosak itu sudah berlaku sejak dua tahun lalu dan dipercayai disebabkan terdapat aliran air di bawah jalan tersebut.
Katanya, jalan berkenaan penting buat penduduk namun sudah tidak selamat untuk digunakan.
“Ada pihak yang meletakkan plastik berwarna putih di laluan ini bagi mengurangkan kejadian mendap atau tanah rebak tetapi tidak ada kerja-kerja memperbaiki atau membina jalan baharu.
“Keadaan jalan yang teruk ini memang menyebabkan berlaku kemalangan kecil seperti motosikal terbabas. Jalan ini penting sebagai jalan perhubungan utama penduduk dan kami harap jalan ini diperbaiki,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Fadli Idris, 37, berkata, banyak bahagian di jalan itu yang sudah mendap dan berlubang menyebabkan ia sukar dilalui kenderaan.
Menurutnya, penduduk bimbang struktur jalan tersebut sudah tidak lagi kukuh.
Katanya, mendapan pada jalan tersebut menjejaskan perhubungan penduduk kerana ia merupakan laluan utama untuk keluar ke pekan Tapah dan Bidor.
“Keadaan ini sudah dua tahun. Kami bimbang kerana kawasan yang mendap semakin luas jika terus dibiarkan.
“Kami berharap pihak berkenaan melihat keadaan jalan ini dan segera memperbaikinya untuk keselesaan penduduk,” katanya.-UTUSAN.