Doa ibu kunci anak tukang jahit raih 8A SPM

Doa ibu kunci anak tukang jahit raih 8A SPM

izze Izzetie Rosli (kanan) bersama rakannya menunjukkan keputusan 8A dalam SPM di Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Doa dan sokongan ber­terusan seorang ibu yang bekerja sebagai tukang jahit menjadi pendorong buat anaknya yang meraih keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Izze Izzetie Rosli, 18, berkata, doa dan sokongan itu menjadi tunjang kekuatan buat dirinya selepas bapanya me­ninggal dunia tiga bulan sebelum dia menduduki peperiksaan awam tersebut.

“Ayah (Rosli Bakar, 59) meninggal dunia kerana kompli­kasi penyakit kencing manis. Pemergian ayah satu kehilangan cukup besar buat saya ke­rana dia kekuatan buat keluarga.

“Peringkat awalnya sukar untuk menerima takdir tersebut. Namun, saya nekad demi pelajaran, Alhamdulillah dapat 8A dalam SPM,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Izze Izzetie yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin memberitahu, kejayaan itu menjadi pemangkin buat dirinya untuk mengejar cita-cita sebagai seorang guru.

Katanya, pada masa sama dia mahu menghadiahkan kejayaan ini buat arwah ayah sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan yang telah dicurahkan sebelum ini.

“Ibu (Zawiyah Abu Bakar, 51) sudah tidak menjahit lagi kerana sebelum ini banyak menguruskan ayah yang sakit. Makan dan minum kami abang yang sara dengan pendapatan sebagai pekerja di pusat cuci kereta.

“Saya berterima kasih kepada guru-guru kerana banyak memberi tunjuk ajar sehingga memperoleh keputusan cemerlang,” ujarnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN