BEIJING: Usahawan muda China berusia 30 tahun kini diisytihar sebagai jutawan selepas rangkaian kedai teh miliknya, Chagee, disenaraikan di Amerika Syarikat (AS), meskipun ketegangan antara kedua-dua negara mendorong perpecahan ekonomi serta ketidaktentuan pasaran.
Dengan pasaran IPO AS yang hampir terhenti dan sesetengah penganalisis mempersoalkan sama ada saham China akan disingkirkan daripada bursa Amerika, syarikat Zhang Junjie, Chagee Holdings, mula diniagakan di Nasdaq pada 17 April.
Saham Chagee melonjak 40 peratus pada 12.10 tengah hari waktu New York, memberikan Zhang nilai bersih sebanyak AS$2.6 bilion (RM11.45 bilion), menurut Indeks Bilionair Bloomberg yang menilai kekayaannya buat kali pertama.
Kekayaan hanya diperoleh daripada pegangannya dalam Chagee.
Zhang, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Chagee, kini menyertai gelombang rakyat China yang meraih kekayaan hasil daripada lonjakan populariti rangkaian teh segar.
Antara mereka termasuk dua beradik di belakang Mixue Group – jenama yang terkenal dengan teh buih murah, kopi dan ais krim – yang mengumpul kekayaan sekitar AS$8 bilion (RM35.25 bilion) digabungkan selepas penampilan sulung syarikat di Hong Kong pada awal 2025.
Zhang memulakan Chagee pada 2017 di Yunnan, sebuah wilayah di barat daya China yang bersempadan dengan Myanmar, Laos dan Vietnam.
Nama syarikat itu diambil daripada tragedi klasik China berjudul Farewell My Concubine, yang mengisahkan seorang raja pahlawan dari zaman purba dan perpisahan romantik dengan kekasihnya, Logo Chagee.
Tidak seperti jenama teh buih yang terkenal dengan isian ‘boba’, Chagee memperkenalkan teh premium berasaskan susu yang menggunakan campuran tradisional China seperti teh hijau, teh hitam dan oolong.
Konsep kedai Chagee juga menonjolkan suasana santai, menyerupai rangkaian kopi terkenal, Starbuck.
Chagee kini memiliki rangkaian lebih 6,440 cawangan, dengan majoritinya terletak di China, selain di luar negara seperti Malaysia, Singapura dan Thailand.
Menurut prospektus syarikat, kira 6,270 kedai teh tersebut difrancaiskan, manakala 169 lagi dimiliki sepenuhnya oleh Chagee.– BLOOMBERG










