KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melaksanakan pemantauan berterusan di seluruh stesen-stesen minyak di laluan utama masuk ke negeri ini bagi memastikan bekalan bahan bakar itu mencukupi untuk keperluan perantau kembali semula ke ibu kota.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, langkah tersebut turut dijalankan di stesen-stesen minyak di luar bandar bagi memastikan bekalan tidak terputus.
“Setakat ini bekalan (bahan bakar) dijamin mencukupi sepanjang tempoh perayaan. Untuk rekod setakat ini, KPDN Kelantan tidak menerima sebarang aduan bekalan terputus atau berkaitan bahan bakar itu.
“Jika ada stesen minyak yang membuat permohonan untuk tambah kouta, kami (KDPN Kelantan) akan pertimbang bagi memastikan bekalan cukup di musim perayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azman berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada syarikat pembekal yang memberi jaminan memastikan stok bahan api mampu menampung keperluan perantau dan pengguna tempatan di seluruh Kelantan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menganggarkan sebanyak dua juta kenderaan memasuk ke negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kemasukan itu berpandukan kepada statistik yang direkodkan pada tahun-tahun sebelum ini melibatkan tiga pintu utama iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli. – UTUSAN










