PETALING JAYA: Seramai 2,848 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sanggup bayar keseluruhan berjumlah RM770 juta kepada kerajaan semata-mata untuk bekerja di luar negara sejak tahun 2010.
Antara negara yang menjadi pilihan mereka ialah Australia, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada, Singapura dan Brunei.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sejak 2010, seramai 16,967 pelajar menerima tajaan JPA untuk melanjutkan pengajian mereka ke luar negara.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 2,848 orang sanggup bayar jumlah keseluruhan kos pengajian mencecah RM1.2 juta setiap orang mengikut bidang pengajian, institusi dan negara mereka belajar bagi mendapat pelepasan bekerja di luar negara sejak 15 tahun lalu.
“JPA memahami bahawa pendedahan global sangat berharga, justeru, JPA kini membenarkan graduan tajaan memperoleh pengalaman bekerja di luar negara sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan Malaysia.
“Dalam hal ini, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Penangguhan Balik Pelajar Tajaan JPA mulai tahun 2024, yang membolehkan graduan bekerja di luar negara sehingga tiga tahun sebelum kembali ke tanah air.
“Namun, jika mereka gagal kembali selepas tempoh yang dibenarkan, mereka perlu membayar balik keseluruhan jumlah tajaan, yang boleh mencecah RM1.2 juta bergantung kepada negara, institusi, dan bidang pengajian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, daripada 16,967 pelajar itu juga, secara puratanya sebanyak 49 peratus telah menyertai sektor awam, manakala selebihnya bekerja di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta atau memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, sejak tahun 1970-an, JPA telah menaja seramai 484,538 pelajar untuk melanjutkan pengajian sama ada di dalam atau di luar negara.
Sebagai mencerminkan komitmen berterusan JPA, Wan Ahmad Dahlan berkata, dari tahun 2016 hingga 2024 sahaja kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM8.5 bilion bagi membiayai 114,463 pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, katanya, sejak tahun 2010, JPA telah meningkatkan tajaan untuk universiti tempatan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar memilih institusi dalam negara.
“Sebagai contoh, pada tahun 2020, seramai 19,908 pelajar menerima tajaan JPA, dengan 19,444 melanjutkan pengajian di IPT dalam negara, manakala 464 di luar negara,” katanya.
Berkongsi pelan akan datang JPA, Wan Ahmad Dahlan berkata, pihaknya sedang menumpukan penajaan kepada tujuh bidang strategik utama membabitkan Kecerdasan Buatan (AI) dan Transformasi Digital; Peralihan Tenaga dan Kejuruteraan Hijau; Keselamatan Negara dan Pengurusan Sempadan; Keselamatan Makanan; Pengurusan Bencana; Keselamatan Siber dan Transformasi Digital dalam Sektor Awam.
“Bidang-bidang ini kritikal dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global. Dengan menaja pelajar dalam bidang ini, kami berharap dapat melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga mampu membawa perubahan besar kepada negara.
“Kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan Malaysia. Harapan kami adalah untuk terus melahirkan generasi pemimpin dan tenaga profesional yang mampu mengharumkan nama negara,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum melaporkan isu penghijrahan graduan menyumbang kepada fenomena ‘brain drain’ yang dihadapi negara apabila lebih 280,000 bakat tempatan, sebahagian besar daripada golongan berpendidikan tinggi dan terlibat dalam pelbagai sektor perkhidmatan profesional berhijrah ke luar negara.
Berdasarkan laporan data daripada TalentCorp dan Bank Dunia, empat negara menjadi tumpuan mereka dengan Australia merekodkan jumlah paling ramai itu seramai 138,363 orang, diikuti Amerika Syarikat (AS) seramai 79,827, United Kingdom (UK) (37,549) dan Kanada (25,690). – UTUSAN










