PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti semula kerangka kerja Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) bagi memastikan pelantikan hakim-hakim telus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga bagi memastikan institusi berkenaan bebas tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan Istimewa Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi mempertahankan kesahan Perlembagaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) selepas ada pihak tertentu mengemukakan permohonan semakan akta itu di Mahkamah Tinggi.
Katanya, semakan semula itu melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).
Ia bagi membaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.
“Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sebelum ini, seorang peguam, Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim telah mencabar kesahihan Perlembagaan SPK serta kuasanya dalam melantik hakim, dengan mendakwa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 tidak berperlembagaan.
Beliau berpendapat, akta tersebut melanggar doktrin pengasingan kuasa dan doktrin struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
Beliau memohon satu perisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kuasa diberikan kepada SPK di bawah Akta 2009 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 122B yang memperincikan proses pelantikan hakim-hakim ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Menurut Anwar, kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman.
Katanya, ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang.
“Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali.
“Pada masa sama, saya menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan NGO,” katanya.
Kata beliau, persoalan itu bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan.
Justeru, katanya, kerajaan kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab dan menghormati semua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu berkenaan. – UTUSAN










