KANGAR: Seramai 89 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu di Perlis mendapat semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil mereka.
Selain itu, pencapaian SPM di negeri ini juga terus merekodkan kecemerlangan apabila mencatatkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.57 mata berbanding 4.74 mata pada tahun sebelumnya.
Pencapaian calon di bandar juga menunjukkan peningkatan dengan 4.29 mata berbanding 4.53 mata bagi tempoh sama.
Calon luar bandar pula menunjukkan sedikit penurunan pencapaian apabila merekodkan 5.43 mata pada 2024 berbanding 5.37 pada tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, secara keseluruhan, bilangan calon yang memperolehi keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran pada kali ini menunjukkan peningkatan kepada 89 orang.
“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 627 calon berbanding 533 calon pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 2.39 peratus.
“Selain itu, seramai 1,042 calon telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E bagi semua mata pelajaran berbanding 972 calon pada 2023,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Pendidikan negeri, hari ini.
Rose Aza berkata, secara keseluruhan, sebanyak 34 daripada 46 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi.
Katanya, selain itu, 11 mata pelajaran juga menunjukkan penurunan prestasi manakala satu mata pelajaran mengekalkan prestasinya berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).
“Enam daripada tujuh mata pelajaran teras pula menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran sejarah menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.04 mata GPMP iaitu 4.63 mata,” katanya.
Rose Aza berkata, seramai 20 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) telah menduduki peperiksaan SPM 2024 dan dari jumlah itu, 17 daripadanya layak diberikan sijil.
Tambahnya, analisis keputusan SPM 2024 juga menunjukkan peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan.-UTUSAN