KANGAR: Seramai 50 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di negeri ini berjaya memperolehi keputusan semua A bagi setiap mata pelajaran.
Keputusan tersebut menunjukkan peningkatan 0.12 peratus berbanding tahun lalu di mana 47 calon SPM dengan jumlah 1.61 peratus memperolehi keputusan cemerlang bagi setiap mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2023 pula adalah sebanyak 4.74 berbanding tahun sebelumnya dan menunjukkan pencapaian yang lebih baik.
“Sebilangan besar calon yang memperolehi keputusan cemerlang terdiri daripada kumpulan pelajar yang menduduki sembilan hingga sebelas mata pelajaran,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Pendidikan negeri, di sini, hari ini.
Menerusi pengumuman keputusan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma merekodkan seramai 15 calon cemerlang, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (13 calon), SMK Dato’ Sheikh Ahmad (lima calon), SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah (tiga calon) dan SMK Agama Arau (tiga calon).
Mengulas lanjut, Rose Aza berkata, jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar juga menunjukkan penurunan sebanyak 0.08 mata nilai Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu 0.84 pada 2023 berbanding 0.92 pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian calon di luar bandar turut menurun sebanyak 0.14 mata GPS iaitu 5.37 pada tahun 2023 berbanding 5.51 pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan peningkatan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar sebanyak 0.08 mata GPS malah sembilan buah sekolah berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus layak mendapat sijil bagi tahun 2023,” katanya.
Dalam pada itu, Rose Aza berkata, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran pula, sebanyak 27 daripada 47 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi bagi peperiksaan SPM 2023.
Katanya, sebanyak 22 mata pelajaran yang diduduki calon mencapai 100 peratus kelulusan antaranya Pendidikan Seni Visual, Pertanian, Sains Komputer, Pendidikan Syariah Islamiyah, Produksi Multimedia dan beberapa lagi.
“Secara keseluruhan, 2,746 calon layak menerima sijil SPM pada tahun 2023 berbanding 2,728 calon pada tahun sebelumnya dan angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.72 peratus.
“Pencapaian ini berdasarkan syarat pensijilan sejak diperkenalkan pada tahun 2013 yang mana calon wajib lulus dua mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak mendapat sijil SPM,” katanya.-UTUSAN







