RANTAU PANJANG: Seorang pemandu lori tidak sempat menghantar sebanyak 5,000 anak pokok merbau yang diseludup dari Thailand selepas kenderaan dipandunya ditahan di Tok Deh, di sini kelmarin.
Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam menerusi penugasan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai 5,000 anak pokok merbau yang disyaki berpenyakit dan mempunyai serangga perosak.
“Semasa ditahan, suspek berusia 42 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman tersebut yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Anggaran rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM550,000 dan disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN










