MARAN: Tiga beradik dari daerah ini berjaya melakukan inovasi berasaskan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga mampu mengeluarkan kenderaan ringan dikenali ‘mototrak’ di Felda Jengka 20 di sini.
Zulhairi Zohri, 36, pernah mendapat latihan dalam bidang automatif manakala Zulhairi mengikuti latihan bidang penyaman udara bersama seorang lagi adik mereka iaitu Zabawi, 28, membuka perusahaan membina kenderaan tersebut.
Mereka membina kenderaan itu berasaskan sebuah motosikal berkuasa 125 kuasa enjin (cc) yang dipotong pada bahagian belakangnya dan ditambah tempat muatan belakang.
Mereka menggunakan gandar yang diimport dari negara Jepun yang dipasang di bawah tempat muatan dan disambung dengan shaft coupling ke bahagian enjin bagi memudahkan putaran roda belakang.
Zulhairi berkata, pada peringkat awal dia membuka bengkel motosikal pada 2021 selepas menerima latihan kemahiran bidang automatif di sebuah pusat latihan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) namun beralih ke bidang tersebut dengan melakukan inovasi membina mototrak setahun kemudian.
“Hasrat saya menghasilkan kenderaan ini untuk memberikan keselesaan kepada peneroka kawasan Wilayah Jengka mengangkut sawit dalam jarak jauh di ladang sebelum dimuatkan ke atas lori untuk dihantar ke kilang.
“Kelebihan mototrak juga boleh membawa hasil tanaman sayur-sayuran, barang keperluan dapur malahan penumpang di kawasan perkampungan Felda bagi memudahkan pergerakan peneroka di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Zulhairi, usahanya melangkah ke bidang perniagaan yang lebih mencabar disepakati oleh Zohaizari dan Zabawi yang pada mulanya bekerja membaiki penyaman udara dan pada masa lapang membantunya di bengkel itu.
“Sebenarnya, inovasi ini amat mudah bagi mereka yang mahir mengenai enjin (automatif) termasuk kemahiran kimpalan bagi membina bahagian belakang kenderaan.
“Sebuah kenderaan ini dijual pada harga RM7,500 hingga RM7,800 bergantung kepada saiz tempat barang serta tambahan harga bagi pelanggan yang berminat memasang aksesori tertentu,” katanya.
Dia berkata, hampir 300 unit mototrak sudah dihasilkan sejak 2022 dan kini memberi perkhidmatan mengangkut sawit di ladang dan dia berhasrat melakukan inovasi baharu dengan membina kenderaan empat roda.-UTUSAN.