23 penghafaz al-Quran peroleh 12 A SPM 2024

23 penghafaz al-Quran peroleh 12 A SPM 2024

IHSANUDDIN Md. Ghazali menunjukkan slip SPM 2024 kepada ibunya di SM Imtiaz Kuala Terengganu.. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 23 pelajar yang juga penghafaz 30 juzuk al-Quran dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu melakar kecemerlangan apabila memperoleh 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan, semalam.

Sekolah itu juga melakar sejarah apabila buat pertama kalinya tiga pelajar memperoleh 12 A+ dalam peperiksaan tersebut.

Seorang calon cemerlang 12A yang juga anak yatim, Ihsanuddin Md. Ghazali, 18 berkata, keputusan itu diharap dapat membantunya menyambung pengajian dalam bidang perubatan seperti yang diinginkan arwah bapanya, Md. Ghazali Idris yang me­ninggal dunia tahun lalu.

“Arwah ayah yang berusia 56 tahun meninggal dunia akibat sakit jantung ketika saya sedang bergelut dengan peperiksaan pertengahan tahun.

“Arwah berpesan supaya saya menyambung pengajian dalam bidang perubatan untuk menjadi seorang pakar jantung dan saya akan berusaha memenuhi impian terakhirnya itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Di Terengganu, seramai 532 atau 3.19 peratus daripada 18,913 calon SPM 2024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Seorang lagi calon cemerlang 12A, Wan Najlaa Ezzaty Wan Badruddin, 18, berkata, dia bersyukur dapat mencapai keputusan cemerlang walaupun hanya dibesarkan ibunya, Umi Salamah Mohamad, 45 yang merupakan ibu tunggal.

“Tanpa sosok seorang ayah, ibu saya yang bersusah payah sejak kecil dan begitu mementingkan pembelajaran anak-anak.

“Alhamdulillah bersyukur dengan bimbingan semua ibu, guru-guru dan rakan yang banyak membantu sepanjang berada di sekolah selama lima tahun,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN