14,179 dapat semua A SPM

14,179 dapat semua A SPM

AZMAN Adnan (tiga dari kiri) menunjukkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 14,179 calon memperoleh keputusan cemerlang semua A iaitu A+, A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan semalam.

Keputusan itu mencatatkan peningkatan 2,466 calon berbanding 11,713 calon pada 2023, sekali gus merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh 11 tahun.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, seramai 355,933 calon pula layak diberikan sijil SPM 2024 berbanding 349,297 calon pada 2023 iaitu meningkat sebanyak 6,636 calon.

“Peningkatan ini merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan pada tahun 2013 diperkenalkan yang mana calon wajib lulus dua mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak diberikan sijil SPM.

“Pelaporan analisis keputusan pepe­riksaan SPM ini adalah berdasarkan se­mua calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak termasuk calon mengulang iaitu seramai 386,714 calon yang mana 344,919 adalah calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.

Da­lam sidang akhbar pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2024 di sini semalam, Azman berkata, seba­nyak 237,010 calon (62.5 peratus) daripada 378,606 calon baharu telah lulus semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 226,314 calon (60.6 peratus) pada 2023.

“Nilai gred purata keseluruhan (GPK) pada 2024 merekodkan pada 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023 yang mengecil sebanyak 0.11 mata. Pencapaian GPK ini adalah lebih baik sejak 2021 iaitu 4.86 mata dan semakin mengecil pada 2022 (4.74 mata).

“Calon yang memperoleh keputusan lulus sekurang-kurangnya gred E juga meningkat kepada 136,791 calon berbanding 131,489 (2023),” katanya.

Azman berkata, seramai 1,377 calon Berkeperluan Khas (78.7 peratus) layak diberikan sijil SPM berbanding 1,362 calon (78.9 peratus) pada tahun 2023.

Katanya, pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.47 mata di bandar dan 4.92 di luar bandar pada 2024 dengan perbezaan jurang 0.45 mata.

Menurutnya, sebanyak 59 daripada 95 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi, 30 mata pelajaran (menurun) dan satu mata pelajaran (kekal) berbanding SPM 2023 berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

“Enam daripada tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran Pendidikan Moral menurun 0.07 mata GPMP iaitu 4.73 mata pada tahun 2024 berbanding 4.66 mata pada 2023.

“Bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Sains Tulen dan Matematik Tambahan, semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi dengan Kimia mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.37 mata GPMP, iaitu 4.52 mata (2024) berbanding 4.89 mata (2023),” katanya.

Dalam pada itu, tambah Azman, calon di sekolah harian mencatatkan keputusan membanggakan dengan pencapaian dicapai setanding Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Katanya, faktor kejayaan itu berkait rapat dengan pemerkasaan guru melalui latihan berimpak tinggi selain pengukuhan pengurusan akademik sekolah serta pendekatan pemantauan berasaskan data.

“Intervensi seperti pelaksanaan Program Transformasi Sekolah 2025, latihan dalam komuniti, pembelajaran profesional dan pemantapan bimbingan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut meningkatkan kompetensi guru serta kualiti pembelajaran di sekolah harian.

“Peningkatan ini secara tidak langsung membuktikan murid di semua kategori sekolah mampu mencapai kecemerlangan apabila mendapat sokongan dan persekitaran pembelajaran kondusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN