KLANG: Seramai 134 penduduk di sekitar Meru di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir hari ini.
Kesemua mangsa terdiri daripada 13 keluarga itu melibatkan penduduk dari Meru, Taman Sri Jaya, Taman Meru Indah dan beberapa kampung di sekitar kawasan berkenaan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai setakat pukul 11 pagi tadi.
Kesemua mangsa terdiri daripada 40 lelaki dan 39 wanita dewasa, 54 kanak-kanak dan seorang bayi perempuan.
Berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang, PPS itu mula dibuka diaktifkan kira-kira pukul 6.45 pagi.
Mereka turut melibatkan 11 warga emas dan lima individu Orang Kelainan Upaya (OKU) yang akan ditempatkan di dua blok sekolah tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia Kosmo mendapati petugas JKM sedang menguruskan pendaftaran mangsa dan memasang khemah di PPS tersebut.
Sementara itu, murid di sekolah berkenaan diberi kebenaran untuk pulang lebih awal dan diambil ibu bapa masing-masing.
Jumlah mangsa dijangka bertambah secara berperingkat dan akan dikemaskan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, beberapa kawasan di Meru dikejutkan dengan kejadian banjir kilat awal pagi selepas hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi.
Antara kawasan terjejas ialah Taman Sri Jaya, di mana air naik sehingga 0.6 meter, menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri dan harta benda mereka.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 6.30 pagi dan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar ke lokasi kejadian.
Seramai lapan mangsa berjaya diselamatkan dalam operasi yang dijalankan dengan bantuan bot. – UTUSAN