Zaini Ujang dilantik Profesor Felo UIAM

 Zaini Ujang dilantik Profesor Felo UIAM

OSMAN Bakar (kanan) menyerahkan surat lantikan sebagai Profesor Felo kepada Zaini Ujang di UIAM, Gombak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dilantik Profesor Felo di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk tempoh setahun, berkuat kuasa semalam.

Surat lantikan telah diserahkan oleh Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dalam satu pertemuan di UIAM Kampus Gombak.

Zaini yang juga bekas Timbalan Pengerusi, Ahli Lembaga Gabenor (BOG), UIAM merupakan tokoh pertama dilantik ke jawatan itu.

Pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang akademik, khususnya dalam kelestarian alam sekitar, dasar pendidikan tinggi, dan penyelidikan strategik.

Menurut Osman, pelantikan Zaini mampu memperkukuhkan kecemerlangan akademik UIAM dan menjadi peneraju dalam pembangunan etika kelestarian alam sekitar dari perspektif Islam.

“Dengan pengalaman luas beliau dalam pengurusan pendidikan tinggi,  Zaini akan memberikan khidmat nasihat dalam reformasi pendidikan bukan sahaja di UIAM tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai Profesor Felo KAED UIAM, Zaini berperanan penting menaikkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, membangunkan institusi serta tadbir urus strategik, mengukuhkan jaringan global serta perluasan kerjasama industri dangan komuniti.

Beliau juga berperanan untuk mengukuhkan jaringan akademik UIAM dengan menjalin kerjasama bersama institusi berprestij seperti Harvard, MIT, Kyoto University, dan Imperial College London.

Tambah Osman, Zaini juga merupakan sarjana pertama menyandang jawatan itu, menandakan langkah signifikan dalam usaha UIAM memperkukuh kepimpinan akademik dan penyelidikan di peringkat global.

Selain KPT, Zaini juga pernah menjawat jawatan KSU di  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN