Warganegara Thailand pulang beraya, ICQS sesak

Warganegara Thailand pulang beraya, ICQS sesak

SEBAHAGIAN warganegara Thailand pulang ke kampung halaman mereka melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini sesak sejak kelmarin susulan warga Thailand yang bekerja di negara ini mengambil peluang pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, kesesakan di pintu masuk ke negara jiran itu bermula pukul 7.30 pagi apabila mereka mulai beratur untuk menyelesaikan urusan berkaitan imigresen.

Seorang warga Thailand, Ha­nisah Mat Daud, 30, berkata, pengalaman berdepan kese­sakan di ICQS Rantau Panjang setiap kali mahu pulang berhari raya membuatkan dia sudah lali dengan situasi tersebut.

“Segala rasa penat itu hilang sebaik sahaja saya melangkah masuk ke Thailand walaupun terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang.

“Saya mahu pulang awal ke kampung di Narathiwat kerana mahu berbuka puasa dengan keluarga selain membuat persiapan bersama adik beradik yang lain,” katanya ditemui di sini semalam.

Seorang lagi warganegara Thai­land, Yahya Dollah, 30, mem­beritahu, dia terpaksa menggunakan khidmat motosikal tambang untuk masuk ke Thailand selepas tidak larat berjalan kaki.

Katanya, meredah perjalanan dari Johor Bahru ke Rantau Panjang di bulan Ramadan merupakan satu cabaran buat dirinya.

Sementara itu, pengusaha mo­tosikal tambang, Alias, 42, berkata, kepulangan war­ganegara Thailand untuk menyambut Aidilfitri memberi rezeki kepada dirinya dan rakan-rakan.

Katanya, situasi itu menyebabkan mereka tidak menang tangan untuk menawarkan perkhidmatan tersebut kepada pelanggan.-MINGGUAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya