Wajib bayar zakat fitrah di negeri bermastautin

Wajib bayar zakat fitrah di negeri bermastautin

Umat Islam di negara ini diwajibkan membayar zakat fitrah kepada amil atau ejen yang dilantik di negeri bermastautin mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini diwajibkan membayar zakat fitrah kepada amil atau ejen yang dilantik di negeri bermastautin mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, pembayaran zakat fitrah di negeri lain atas alasan kadar lebih rendah berbanding negeri asal adalah tidak dibenarkan.

Katanya, zakat fitrah bertujuan membantu asnaf fakir miskin setempat dan wajib dibayar di negeri di mana seseorang itu menetap atau berada pada malam raya.

“Jika seseorang dengan sengaja membayar di negeri lain kerana kadar lebih rendah tanpa alasan syarie, ia boleh dianggap mengelak tanggungjawab kepada fakir miskin di negeri asalnya.

“Namun, jika seseorang berada di sesuatu negeri pada malam raya, maka zakat fitrah boleh dibayar di negeri tersebut.

“Ini kerana zakat fitrah berfungsi sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dan sebagai makanan kepada orang miskin seperti mana yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Sukki berkata, setiap negeri mempunyai sistem pengurusan zakat sendiri dan pembayaran hendaklah dilakukan melalui amil atau institusi yang diiktiraf.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga telah menetapkan pembayaran zakat fitrah perlu dibuat kepada institusi yang sah di negeri masing-masing bagi memastikan pengagihan zakat berjalan dengan baik dan kebajikan asnaf setempat terus terpelihara.

“Dalam Islam, kepatuhan kepada ulil amri dalam hal yang tidak bertentangan dengan syariat adalah dituntut.

“Oleh kerana MAIN bertanggungjawab dalam menguruskan zakat di negeri masing-masing, maka wajib bagi rakyat negeri itu untuk membayar kepada pihak yang telah dilantik,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya seseorang masih bermastautin di negeri asal tetapi membayar di negeri lain hanya kerana kadar lebih rendah, tindakan itu tidak dibenarkan dan boleh menjejaskan hak penerima zakat di negeri asalnya. – UTUSAN

INFOGRAFIK ZAKAT FITRAH 2025

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN