PETALING JAYA: Walaupun sudah berusia 80 tahun ke atas, ada segelintir warga emas di negara ini terpaksa terus bekerja dengan kemampuan terbatas demi menyara hidup tanpa meminta simpati daripada mana-mana pihak.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kumpulan warga emas itu bukan sahaja bekerja untuk menampung perbelanjaan harian, malah ia bagi memastikan kehidupan mereka terus kekal aktif dan tidak menyusahkan anak-anak.
Kerani di sebuah kedai herba Cina, Lim, 83, mengakui masih tetap bekerja pada usia lanjut kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi, selain daripada majikan yang masih memerlukan kudratnya.
“Saya sudah 33 tahun bekerja di sini dan selagi masih boleh kerja untuk dapatkan belanja harian, lebih-lebih lagi simpanan saya sudah dikeluarkan,” katanya.
Bagi pengumpul barangan terpakai Christ, 70, memilih bekerja kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kadang-kadang boleh dapat RM100, RM40 lebih atau RM30 lebih bergantunglah. Kadang-kadang saya perlu buat pekerjaan lain dan pergi bersembahyang,” katanya.
Sementara itu, seorang pengurus sebuah syarikat pembekal barang kapal di pelabuhan Klang, A. Siva Paramah, 75, bekerja kerana tawaran kerja yang fleksibel dengan bayaran dikira mengikut harian.
“KWSP pun sudah habis, wang itu sudah guna buat bayar hutang juga dan tiap-tiap bulan bayar perbelanjaan rawatan jantung,kencing manis,gastrik dan penyakit lain sebab sudah tua juga,” katanya yang hampir 20 tahun berkhidmat di syarikat berkenaan..
Baru-baru ini, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dilaporkan berkata, kira-kira 85 peratus rakyat terpaksa bekerja sepanjang hayat bagi menampung keperluan hidup kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara, termasuk dalam kalangan pencarum KWSP.
Ia terutama selepas berlaku desakan pengeluaran yang berulang yang menyebabkan jumlah simpanan hari tua mereka ‘dikeluarkan’ untuk kegunaan semasa muda sedangkan masih bertenaga untuk mencari wang.
Situasi dijangka bertambah buruk apabila Malaysia bergerak dengan pantas ke arah negara menua dengan sekurang-kurangnya 14 peratus dari populasinya akan berumur 65 tahun dan ke atas.
Mingguan Malaysia pada 9 Mac lalu melaporkan, pencarum KWSP memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan caruman mereka bagi menampung kehidupan selepas bersara.
Jumlah simpanan itu bagi memastikan usia emas mereka dinikmati dengan selesa tanpa bimbang berhadapan tekanan kos sara hidup.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jumlah tersebut adalah keperluan minimum tidak termasuk kos rawatan kesihatan dan tabungan kecemasan.
“Dengan jangka hayat purata rakyat Malaysia kini mencecah 75 tahun, kebanyakan pesara perlu bertahan sekurang-kurangnya 15 tahun selepas bersara.
“Jika dianggarkan perbelanjaan asas bulanan mencecah RM3,000, ini bermakna seseorang pesara perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM540,000 bagi menampung kos sara hidup mereka,” katanya. – UTUSAN










